Bayar balik pelanggan jika penerbangan lewat lebih lima jam - Anthony

Faida Rahim
Ogos 28, 2024 20:08 MYT
Anthony berkata, tempoh bayaran balik kepada pengguna ialah selama 30 hari dan ia bergantung kepada kaedah pembayaran yang telah dilaksanakan penumpang. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Syarikat penerbangan dikehendaki menawarkan pengguna pilihan bayaran balik penuh bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka, berkuat kuasa 2 September ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, perkara itu antara penambahbaikan baharu dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dilaksanakan Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang bakal diwartakan September ini.
"Untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal.
"Syarikat penerbangan juga boleh menawarkan mod bayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau credit shell. Bagaimanapun, pengguna mempunyai hak untuk memilih mod bayaran balik yang mereka kehendaki," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah beliau, untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal.
Beliau berkata, tempoh bayaran balik kepada pengguna ialah selama 30 hari dan ia bergantung kepada kaedah pembayaran yang telah dilaksanakan penumpang.
Jelasnya, penambahbaikan lain dalam MACPC ialah bayaran balik mandatori surcaj bahan api, cukai, fi dan caj seperti levi pelepasan, caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan fi karbon.
Melalui penambahbaikan baharu itu juga, beliau berkata semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan daripada semua sistem penempahan, termasuk platform ejen pelancongan dalam talian dan luar talian.
Berkuat kuasa Januari tahun depan, Anthony menjelaskan, sebarang perubahan dalam waktu perlepasan yang dijadualkan (STD) mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu perlepasan sebenar melainkan ia disebabkan hal keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Beliau berkata, kegagalan untuk mematuhi MACPC boleh dikenakan penalti kewangan maksimum sebanyak RM200,000 dan dalam kes ketidakpatuhan kedua atau seterusnya, jumlah 10 kali ganda daripada penalti kewangan pertama akan dikenakan.
#penerbangan Malaysia #Anthony Loke #bayaran semula #mavcom