'Bayar atau jumpa di mahkamah' - Guan Eng kepada Goldman Sachs
Najib Aroff
Januari 15, 2019 12:22 MYT
Januari 15, 2019 12:22 MYT
Malaysia akan mengambil tindakan undang undang sekiranya bank terkemuka Amerika Syarikat Goldman Sachs gagal memulangkan kembali wang berjumlah AS$7.5 bilion seperti dituntut Malaysia.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pihak Peguam Negara sudah pun memulakan proses bagi tujuan itu.
“Saya rasa kami akan mengambil tindakan undang undang (jika Goldman Sachs gagal bayar). Proses itu sudah dimulakan oleh pihak Peguam Negara,” kata Guan Eng ketika temu bual bersama CNN.
Guan Eng berkata pengakuan bersalah oleh bekas eksekutif kanan Goldman Sachs menjadi bukti kukuh keterlibatan bank itu dalam terbitan bon yang mencurigakan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Pengakuan oleh pegawai kanan (Goldman Sachs) yang mempunyai akses kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (Goldmand Sachs), menjadi bukti nyata bahawa Goldman Sachs tahu tentang tindakan ini.
“Bagaimana untuk mereka menafikan bahawa bank mereka memungut jumlah besar yuran dan pada masa sama menyatakan anda mewakili Malaysia.
"Saya tidak rasa mereka boleh lari,” katanya.
Guan Eng berharap Goldman Sachs yang akan mengumumkan prestasi kewangan bulan hadapan akan memperuntukkan bajet untuk melunaskan tuntutan Malaysia.
Malaysia menuntut sejumlah AS$7.5 bilion dari Goldman Sachs bagi terbitan bon berjumlah AS$6.5 bilion berserta yuran tinggi AS$600 juta.
“Yuran dibayar untuk perkhidmatan yang tidak diberikan dengan sewajarnya. Wujud pelanggaran tanggungjawab mengurus syarikat (fiduciary).
“Mereka menguruskan perjanjian dengan melibatkan AS$600 juta.” katanya.
Guan Eng pada masa sama berkata Malaysia masih berusaha mencari keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
“Kami masih mencari beliau. Kami akan berjaya menemui beliau,” katanya sambil menolak dakwaan kononnya Jho Low berada di Guangzhou.
Ketika menjawab soalan mengapa Jho Low yang berasal dari Pulau Pinang boleh terlibat dalam kes seperti itu, Guan Eng berkata persoalan seharusnya berkisar tentang mengapa bekas perdana menteri mempercayai Jho Low dengan kekayaan negara untuk dilaburkan.
#1MDB
#Amerika Syarikat
#AS
#bajet
#bank
#Goldman Sachs
#Jho Low
#Lim Guan Eng
#Malaysia
#menteri
#Peguam Negara
#Perdana Menteri