Bawang Lusang, penerima vaksin COVID-19 tertua di Malaysia
Munirah Mudzamli
Mei 7, 2021 20:09 MYT
Mei 7, 2021 20:09 MYT
BELAGA: Berusia 97 tahun, Bawang Lusang merupakan individu tertua yang menerima suntikan vaksin COVID-19 di Malaysia setakat ini.
Bawang disuntik dos pertama di Klinik Kesihatan Belaga hari ini dan kisahnya dikongsi Pusat Maklumat Rakyat Belaga menerusi catatan di Facebooknya hari ini.
"Semangat dan keberanian Puan Bawang Lusang yang berasal dari Rumah Aging, Long Daah, Belaga perlu dicontohi dalam usaha menyahut seruan kerajaan bagi memastikan sebanyak mungkin penduduk di Malaysia menerima vaksin.
"Semoga semangat Nenek Bawang mampu menjadi teladan kepada masyarakat di luar sana. Syabas nenek Bawang," catatnya.
Laman Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 dan Kementerian Kesihatan Malaysia turut berkongsi catatan tersebut.
Tidak ketinggalan mengulang ciap, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.