Bawalah straw sendiri mulai sekarang - PEKA

Rahimah Abdullah
Januari 5, 2019 18:53 MYT
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) mencadangkan orang ramai mula membawa penyedut minuman atau straw sendiri jika mahu minum di premis-premis makanan.
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) mencadangkan orang ramai mula membawa penyedut minuman atau straw sendiri jika mahu minum di premis-premis makanan.
Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, ia perlu dilakukan sekarang selaras dengan kempen pengharaman straw plastik mulai tahun 2020 yang akan dimulakan di Wilayah Persekutuan.
Jelasnya, penggunaan straw plastik sangat bahaya kepada alam sekitar.
"Sesiapa yang bertanggungjawab mereka akan membawa straw sendiri. Ada yang daripada restoran, mereka membawa straw tahan karat. Jadi tidak ada salahnya kalau simpan straw kita sendiri dalam beg tangan kita atau mana-mana," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Katanya, ada banyak restoran di negara-negara maju terutama Jepun, Korea dan Eropah tidak menyediakan straw plastik untuk pelanggan.
Dalam pada itu, beliau tidak bersetuju straw kertas digunakan bagi menggantikan straw plastik kerana ia akan menyebabkan berlaku lebih banyak penebangan pokok.
Pada masa sama katanya, straw plastik yang merupakan bahan sukar terurai turut memberi kesan kepada kualiti sungai di negara ini.
"Saya sangat sedih kerana banyak sungai kita yang tercemar.Tinggal sedikit sahaja sungai kelas satu dan kelas dua. Kalau kita tengok ramai penduduk menjadikan sungai itu sebagai tempat pembuangan sampah. Jadi sifat inilah sepatutnya kita buang. Kalau kita jadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah maka susah kita naka pastikan sungai kita bersih," ujarnya.
Justeru beliau berharap masyarakat menyokong kempen pengharaman straw plastik yang akan dikuatkuasakan pada tahun depan.
#Astro #Astro Awani #Bersih #Jepun #Khazanah #Korea #Korea Utara #Malaysia #strawplastik
;