Bawa usul pembatalan, perbahasan Ordinan Darurat ke Parlimen - Ilham Centre
Astro Awani
Julai 30, 2021 13:12 MYT
Julai 30, 2021 13:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya membawa usul pembatalan Ordinan Darurat disusuli dengan perbahasan mengenainya pada Mesyuarat Khas Parlimen Isnin depan.
Felo Penyelidikan Ilham Centre, Prof Madya Hamidin Abd Hamid menjelaskan, ini kerana ia adalah isu tumpuan yang perlu dibincangkan susulan kenyataan dari Istana Negara mengenai hal berkenaan.
"Isnin ini saya kira berterusan perbincangan akan lebih tertumpu kepada kesan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara dan ini sudah tentu akan memberi kesan kepada Ordinan-ordinan Darurat. Walaupun Darurat mungkin ditamatkan pada 1 Ogos, tetapi tidak berlakunya pembatalan.
"Nampaknya pembatalan ordinan tidak berlaku di luar Parlimen, jadi pihak kerajaan semestinya akan terpaksa membawa pembatalan ordinan itu ke Parlimen. Ini akan membawa kepada usul perbahasan bagi membatalkan Ordinan-ordinan Darurat. Saya lihat itu boleh berlaku pada Isnin.
"Saya menjangkakan bagi pihak kerajaan sekiranya mereka ingin menyelamatkan suasana pada ketika ini, adalah lebih baik kerajaan menyambung lagi hari persidangan khas ini untuk membolehkan pengundian berlaku bagi pembatalan ordinan-ordinan selain dari meneruskan taklimat perkembangan Darurat di negara ini," katanya semasa dihubungi pada Jumaat.
BACA: Ordinan Darurat boleh dibatal melalui dua cara, di luar dan dalam Dewan Rakyat - Prof Shamrahayu
Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai baru-baru ini, bahawa kerajaan telah membatalkan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda, sedangkan pembatalan belum lagi diperkenankan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menegaskan, dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluruhan perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.
Dalam pada itu jelasnya, perjalanan Mesyuarat Khas Parlimen kali ini sudah gagal untuk mencapai matlamatnya kerana terkeluar daripada isu perbahasan awal akibat kesilapan yang dilakukan oleh Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Tegasnya, ia sekali gus membawa kepada perbincangan lebih mendalam selain tekanan pembangkang yang mahu penjelasan lanjut mengenai isu pembatalan Ordinan Darurat.
"Jadi dalam konteks ini saya lihat setakat ini seperti diketahui umum, kebanyakan perbincangan lebih menjurus kepada persoalan tentang adakah persidangan ini menepati kehendak Perlembagaan, mengikut peraturan dan sebagainya.
"Malahan ramai pembangkang dan juga rakyat di luar sana mula memerhatikan tentang perbahasan yang berlaku dan ketidakwujudan proses pengundian sedikit sebanyak akan melemahkan segala usaha kerajaan untuk memberi keyakinan tentang usaha menentang COVID-19," katanya lagi.
#COVID-19
#Parlimen
#pembangkang
#undang-undang
#Ordinan Darurat
#Dewan Rakyat
#Takiyuddin Hassan
#Yang di-Pertuan Agong
#Politik Malaysia
#Hamidin Abd Hamid
#ILHAM Centre