Bawa transformasi dalam sektor keselamatan negara - Musa Hassan

Astro Awani
Oktober 3, 2020 22:24 MYT
Musa bersama Pengarah DNS Security Bhd., Mohd Jailani Dawood Ibrahim selepas menandatangani Memorandum bersama SWiSS baru-baru ini. - Gambar SWiSS
KUALA LUMPUR: Penglibatan dan kerjasama semua pihak penting bagi membawa transformasi yang diperlukan dalam sektor keselamatan di negara ini.
Pengerusi Selangor Wilayah Industrial Security Society (SWiSS), Tan Sri Musa Hassan menegaskan, pihaknya akan berganding tenaga dengan semua pihak demi mencapai aspirasi negara ke arah meningkatan keterampilan industri berkenaan.
"Matlamat SWiSS bukannya untuk bersaing dengan pertubuhan atau badan-badan yang lain tetapi adalah untuk memupuk kerjasama strategik dan kukuh di kalangan setiap pihak demi kepentingan semua golongan masyarakat.
"SWiSS adalah jentera yang akan menyatukan dan memimpin semua golongan masyarakat ke arah transformasi yang diperlukan.
"Objektif SWiSS untuk membentuk sektor keselamatan yang berdaya saing tinggi dan berasaskan teknologi semasa yang akan memberi manfaat kepada semua pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Pada 15 September lepas, SWiSS telah membentuk usahasama dengan Kolej PORTMAN dalam membangunkan program-program latihan ‘upskilling’dan pendidikan profesional.
Ia menyediakan tenaga kerja sedia ada dengan ilmu dan kemahiran yang relevan selaras dengan perkembangan teknologi semasa demi memastikan mutu perkhidmatan yang cemerlang dibekalkan kepada pengguna-pengguna perkhidmatan keselamatan.
SWiSS juga telah membentuk kerjasama dengan TEFA Global Sdn Bhd dalam menjalankan projek-projek teknikal yang berkait dengan Kementerian Belia dan Sukan.
Selain itu, SWiSS juga telah mewujudkan persefahaman dengan Yayasan Pendidikan Malaysia yang akan menyalurkan belia-belia di negara kita untuk program-program latihan, pendidikan serta bengkel-bengkel yang bakal diusahakan oleh SWiSS dengan kerjasama Kolej PORTMAN.
Sementara itu kata Musa, gerak sama strategik itu urut membentuk satu ekosistem yang dapat memupuk pembangunan sektor keselamatan melalui penglibatan aktif semua pihak yang terlibat.
#Musa Hassan #pendidikan #keselamatan #Swiss #transformasi #Kolej PORTMAN #TEFA Global #Kementerian Belia dan Sukan
;