Bawa semangat Gawai, tradisi ngabang menerusi platform digital - Awang Tengah
Astro Awani
Jun 1, 2021 12:30 MYT
Jun 1, 2021 12:30 MYT
KUCHING: Masyarakat Dayak yang meraikan Hari Gawai boleh meneruskan semangat perayaan itu dengan mengadaptasi platform digital susulan larangan tradisi ngabang.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengalaman merayakan Hari Gawai tahun lalu boleh dijadikan panduan dalam sambutan tahun ini.
Katanya, platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan lain-lain masih boleh digunakan untuk berhubung dengan keluarga yang jauh serta tidak dapat dikunjungi.
"Inilah norma baharu yang harus terima, dan kita berharap ini hanya sementara. Saya yakin keadaan akan kembali seperti biasa jika kita terus mengikuti segala SOP yang telah
ditetapkan dalam membendung COVID-19.
"Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mematuhi segala arahan dan SOP yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menghapuskan penyebaran wabak ini," katanya dalam perutusan sempena Hari Gawai 2021.
Selain itu, Awang Tengah menyeru semua rakyat Sarawak membuat pendaftaran bagi program vaksinasi COVID-19 di aplikasi MySejahtera atau pejabat daerah yang terdekat.
"Tindakan ini penting agar kita segera bebas dari wabak ini dan kehidupan kita dapat kembali seperti sedia kala," katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Industri Terminal dan keusahawan (MINTRED) berkata, kerajaan memahami cabaran dan kesukaran dihadapi rakyat akibat penularan COVID-19.
Katanya, bagi membantu meringankan beban dihadapi, kerajaan Pusat dan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti PRIHATIN serta Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).
#Semangat Gawai
#Hari Gawai 2021
#Awang Tengah Ali Hasan
#tradisi ngabang
#platform digital
#MINTRED