Bawa masuk warga asing, 12 termasuk lima penguat kuasa ditahan SPRM

Astro Awani
Ogos 20, 2024 22:24 MYT
Azam Baki berkata, sindiket didalangi beberapa penguat kuasa agensi penguatkuasaan itu dipercayai menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seramai 12 individu termasuk lima penguat kuasa yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, sindiket didalangi beberapa penguat kuasa agensi penguatkuasaan itu dipercayai menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan.
Katanya, kesemua yang ditahan masing sembila lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an menerusi Op Pump itu menggunakan modus operandi 'çounter setting'.
"Kesemua mereka ditahan dalam Op Pump yang dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan pada Selasa," katanya dalam satu kenyataan.
Antara warga asing yang dipercayai dibawa masuk sindiket itu ialah dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal.
Tambahnya, tangkapan yang dilakukan ini hasil risikan dijalankan SPRM sejak tahun 2022 terhadap kegiatan sindiket yang bersekongkol dengan para pegawai sebuah agensi penguat kuasa.
Selain itu, jelasnya, sindiket itu dipercayai meraih keuntungan jutaan ringgit dan siasatan dijalankan mengesan terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta dari tahun 2022 hingga 2024 dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagih-agihkan kepada penguat kuasa terlibat.
Beliau berkata, modus operandi kegiatan sindiket ini adalah dengan membuat 'counter setting' iaitu bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara yang sedia menunggu di beberapa kaunter tertentu bagi memudahkan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan.
"Kumpulan warga asing yang ingin masuk ke negara ini akan menghubungi ejen berkenaan yang menguruskan tiket penerbangan termasuk urusan dengan penguat kuasa terlibat.
"Ejen ini akan memberikan maklumat kumpulan warga asing terbabit kepada penguat kuasa yang sudah menunggu di kaunter tertentu dan pada masa yang sama akan memaklum kepada warga asing terbabit untuk pergi ke kaunter terbabit sebaik tiba di negara ini bagi membolehkan mereka dilepaskan tanpa melalui pemeriksaan.
"Sebaik melepasi kaunter khas ini, kumpulan warga asing terbabit akan diambil oleh wakil ejen yang berperanan membawa mereka keluar ke destinasi tertentu," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi proses permohonan reman pada Rabu.
#Bangladesh #KLIA #SPRM #warga asing
;