Bawa kes penggunaan kalimah-kalimah Islam ke peringkat Mahkamah Rayuan - Muafakat Nasional

Firdaus Azil
Mac 10, 2021 23:53 MYT
Kerajaan Persekutuan perlu pastikan kes tersebut perlu dibawa sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan, kata Muafakat Nasional. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional malam ini menzahirkan keprihatinan yang amat serius berhubung keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang-orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, gabungan berkenaan berkata, perkara itu perlu dibawa sehingga ke peringkat seterusnya dalam sistem perundangan, iaitu di peringkat Mahkamah Rayuan.
“Mesyuarat menggesa Kerajaan merayu untuk membawa penghakiman ini ke Mahkamah Rayuan.
“Mesyuarat pada hari ini juga menggesa pihak Kerajaan Persekutuan untuk mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan Media #MN#MuafakatNasional Untuk siaran. Tkasih 10/3/21 pic.twitter.com/L1VJ6b7K6f

— Ahmad b Maslan (@ahmadmaslan) March 10, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada Rabu telah memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan, iaitu - Baitullah, Kaabah dan solat.
Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.
BACA: Penganut Kristian boleh guna kalimah 'Allah'
BACA: PRU15: Tiada pertembungan UMNO-Pas, dengan Bersatu pula dirungkai kemudian - Ahmad Maslan
Sementara itu, kenyataan media yang disiarkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan itu, turut menyebut perjumpaan yang berlangsung malam ini hanyalah mesyuarat bulanan biasa.
Sebelum itu, beliau ketika ditemui media berkata, Pas dan UMNO perlu mencapai kata muafakat bagi memastikan tidak ada pertembungan antara dua parti Melayu Islam terbesar itu sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, perkara itu antara yang diharapkan kedua-dua pimpinan bagi memastikan hubungan yang terjalin sejak pemeteraian Piagam Muafakat Nasional perlu diteruskan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pertembungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan dirungkaikan kemudian.
#Muafakat Nasional #Kalimah Allah #Mahkamah Tinggi #Mahkamah Rayuan #PAS #UMNO #Ahmad Maslan #pilihan raya umum #mahkamah #pilihan raya #Parlimen #Kristian #Arab
;