Bawa 13 ekor ayam naik bas, empat lelaki didenda RM1,000 setiap seorang

Astro Awani
Mei 8, 2019 13:28 MYT
Pemindahan unggas seperti ayam dari Kelantan itu perlu mendapat permit kerana dibimbangi mendatangkan penyakit flu unggas di sepanjang laluan perjalanan. - Gambar hiasan
Empat lelaki didenda RM1,000 seorang oleh Mahkamah Majistret kerana memindahkan 13 ekor ayam tanpa permit menaiki bas ekspres dari Kelantan ke Johor Bahru tahun lalu.
Orang kena saman (OKS) Nik Nor Ilham Mohd Affandy, 41; Mohd Zulhelmi Hamzah Zuhaimi, 27; Fauzi Yazid, 47; dan Raja Alfaizal Raja Azlan, 27, kesemuanya mengaku bersalah.
Mengikut kertas siasatan pada 7 April 2018 pukul 11.20 minit pagi satu siasatan oleh Jabatan Veterinar Johor bersama pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menahan sebuah bas ekspres di Terminal Pengangkutan Awam Larkin di Platform B.
Pemeriksaan mendapati bas ekspres itu telah membawa barangan terlarang berupa sembilan ekor ayam hidup, empat ekor ayam telah mati dan 50 ekor burung murai batu.
Hasil siasatan, wujud aktiviti mengangkut barangan terlarang di dalam tempat penyimpanan bas ekspres terbabit.
OKS 1 yang juga pemilik ayam itu, Nik Norilham Affandy didakwa memindahkan tujuh ekor ayam ke dalam tempat penyimpanan bas terbabit.
Manakala, OKS 2 Mohd Zulhelmi Hamzah Zuhaimi pula memindahkan empat ekor ayam dan OKS 3, Fauzi Yazid bersama OKS 4, Raja Al Faizal Raja Azlan juga telah memindahkan masing-masing seekor ayam ke dalam pusat penyimpanan berkenaan.
Kesemua OKS didakwa telah melakukan kesalahan melanggar undang-undang tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada pengarah veterinar daripada kesalahan dilakukan.
Terdahulu, pegawai pendakwa Jabatan Veterinar Johor Bahru, Mohd Faiz Ajis meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua OKS.
Tindakan keempat-empat OKS memindahkan 13 ekor ayam hidup daripada Kelantan dibimbangi mendatangkan penyakit flu unggas termasuk risiko penyebaran penyakit selesema burung di sepanjang lalu an bas ekspres dari Kelantan ke Johor Bahru.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36 (7) Akta Binatang Pindaan 2013 mengikut perenggan Perintah Kawalan Penyakit Flu Unggas Negeri Johor 2005 yang membawa hukuman denda tidak melebihi 15,000 jika sabit kesalahan.
Majistret, Nurasidah A Rahman, memerintahkan semua OKS menjalani hukuman penjara tiga minggu sekiranya gagal membayar denda sebanyak RM1,000 setiap seorang.
Nurasidah juga memerintahkan Nik Nor Ilham membayar kos penjagaan dan rawatan ayam dirampas berjumlah RM716, manakala Raja Alfaizal dan Fauzi masing-masing berjumlah RM109 kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor.
Semua rampasan ayam dilupuskan.
#ayam naik bas #bas ekspres #Jabatan Veterinar #Johor Bahru #Kelantan #kes mahkamah #Mahkamah Majistret #terminal bas larkin
;