Bauksit: Kerajaan Pahang kaji kos Adherex 120 sebelum wajibkan penggunaan
Bernama
November 9, 2015 17:15 MYT
November 9, 2015 17:15 MYT
Kerajaan Negeri Pahang sedang menunggu pembentangan kos terperinci penggunaan Adherex 120, sejenis bahan dihasilkan menggunakan teknologi biokimia untuk mengatasi masalah pencemaran debu bauksit,
sebelum memutuskan penggunaannya.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pembentangan itu dijangka dalam tempoh terdekat oleh penyelidik dari Tunisia Prof Mongi Fershihi dan jika didapati bersesuaian barulah bahan itu akan digunakan.
"Selepas dapat kos secara terperinci, baru kita akan buat percubaan dan bincang pada mesyuarat Exco sebelum diputuskan sama ada akan menggunakan (Adherex 120) atau tidak.
"Berkaitan kos, kita akan caj daripada pengusaha dan kontraktor. Buat masa ini, kami tidak kenakan cukai ke atas mereka. Mereka hanya bayar royalti (kepada kerajaan negeri)," katanya selepas menyaksikan demonstrasi penggunaan Adherex 120 oleh Reliance Biotechnology Sdn Bhd di RTP Bukit Goh di sini, hari ini.
Adnan berkata jika penggunaan Adherex 120 diwajibkan kelak, ia akan menjadi antara syarat sebelum pengeluaran lesen melombong dikeluarkan sebagai usaha memastikan semua pengusaha dan kontraktor bauksit mematuhi arahan pembayaran kos itu.
Berhubung lombong bauksit yang beroperasi secara haram, Adnan menjawab: "Kami akan tutup ... jika tidak, ia akan menyusahkan semua pihak."
Berhubung demonstrasi penggunaan bahan itu, beliau berkata ia menyaksikan debu bauksit dapat dikurangkan apabila cecair Adherex 120 disembur ke permukaan jalan yang bertindak sebagai 'pengikat' debu bauksit dan sekali gus mengelak debu daripada terus diterbangkan.
Beliau berkata daripada penerangan oleh Fershihi, Adherex 120 hanya perlu disembur ke permukaaan jalan raya seminggu sekali dan tidak berbahaya kerana merupakan produk hijau, efisien dan ekonomik yang mengandungi bahan penyubur tanah.
Demonstrasi itu turut disaksikan barisan Exco kerajaan negeri dan wakil pembangkang iaitu Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang.