Baucar Rahmah: Insentif e-dompet akan diteruskan

Madiha Abdullah
April 7, 2023 06:24 MYT
Fuziah (dua, kanan) hadir pada Majlis Pelancaran Baucar Rahmah sempena Festival Usahawan Gempak di Stadium Malawati, Shah Alam, 7 April 2023. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Pemberian insentif e-dompet seperti yang dilaksanakan di bazar Ramadan Rahmah akan diteruskan selepas ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, insentif berbentuk baucar e-dompet itu merupakan sebahagian daripada pelan di bawah rancangan digitalisasi perniagaan.
"Kita akan teruskan di bawah rancangan digitalisasi, untuk membantu transaksi tanpa tunai, terutama di kawasan luar bandar.
"Kita di KPDN hendak didik peniaga dan pengguna di luar bandar untuk bertukar dari transaksi tunai ke tanpa tunai," katanya.
Tambahnya, kementerian setakat ini telah mengagihkan baucar RM20 dalam bentuk e-dompet yang dimanfaatkan 96,000 pengunjung bazar ramadan Rahmah di seluruh negara.
Beliau ditemui selepas melancarkan Festival Usahawan Gempak sempena Aidilfitri di Stadium Malawati, di sini, semalam.
Festival yang berlangsung dari 7 hingga 9 April itu menawarkan Baucar Rahmah berjumlah RM40,000 untuk ditebus pengunjung.
Baucar ini merupakan inisiatif kerajaan negeri Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan akan diagihkan kepada pengunjung terawal festival berkenaan.
Baucar bernilai RM8 boleh digunakan untuk membeli produk lebih 150 jenama tempatan yang mengambil bahagian, manakala baucar bernilai RM5 boleh digunakan untuk membeli aneka juadah daripada peniaga makanan yang turut sama membuat jualan dalam festival ini.
Antara jenama tempatan yang menyertai festival ini ialah SimplySiti, Farm Fresh, Elrah Exclusive, Wonderlab (CUCKOO), Hush Puppies dan banyak lagi.
#digitalisasi perniagaan #Bazar Ramadan Rahmah #baucar e-dompet #Fuziah Salleh
;