Baucar buku RM100 diberi secara berperingkat - Zambry

Bernama
Mei 31, 2024 14:17 MYT
Zambry (foto) berkata perincian lanjut mengenai mekanisme pemberian baucar itu akan diumumkan Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang pada petang ini. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Pemberian baucar buku RM100 kepada golongan pelajar akan diberikan secara berperingkat bagi memberi manfaat kepada kira-kira 1.2 juta penerima, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Ringkasan AI
  • Baucar buku RM100 akan diberi kepada kira-kira 1.2 juta pelajar secara berperingkat.
  • Perincian mekanismenya akan diumum Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Zaini Ujang petang ini.
  • Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menasihatkan golongan pelajar yang menerima baucar buku agar tidak menyalahgunakannya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 di sini hari ini, Zambry berkata perincian lanjut mengenai mekanisme pemberian baucar itu akan diumumkan Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Zaini Ujang pada petang ini.
"Barangkali akan dibuat secara berperingkat sebagai contoh di peringkat universiti, politeknik dan sebagainya. Kita sudah adakan mesyuarat dan beliau (Zaini) akan umumkan apakah pendekatan atau langkah-langkah bagi membolehkan pelaksanaan (pemberian baucar buku) dapat disegerakan.
"Perkara itu (pemberian baucar buku) diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka menjadi kewajipan kita (KPT) untuk mencari pendekatan bagaimana dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan. Perdana Menteri mahu supaya ia dimulakan petang ini," katanya.
Semalam, Anwar dilaporkan mengumumkan pemberian baucar buku RM100 kepada golongan pelajar bermula petang ini, membabitkan murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta Institusi Pendidikan Guru.
Zambry menasihatkan golongan pelajar yang menerima baucar berkenaan agar tidak menyalahgunakan sebaliknya memanfaatkan untuk kegunaan diri sendiri dengan membuat pembelian bahan bacaan ilmiah.
"Kita mengharapkan agar kisah lama tidak berulang sebab itu kita bincang kaedah dan mekanisme pemberian baucar ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata KPT mengadakan beberapa perbincangan secara berperingkat dan menyeluruh dengan pelbagai kementerian berhubung sasaran negara menjadi hab semikonduktor.
"Maka kita perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan setiap perancangan, setiap FDI (pelaburan langsung asing) sebab kita sedia maklum kerancakan FDI sedang berlaku dalam negara, maka jadi tanggungjawab kita untuk tidak hanya tunggu dan lihat," katanya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Zambry berkata KPT ketika ini berada dalam landasan tepat khususnya di arena antarabangsa apabila dipelawa berkongsi modul pendidikan Malaysia dan pengalaman serta kejayaan sektor pendidikan negara oleh beberapa negara luar.
"Saya telah ke beberapa negara luar atas jemputan mereka. Contohnya ke Kyrgyz baru-baru ini, mereka mahu kita kongsi pengalaman dan suarakan hasrat untuk jadikan modul pendidikan kita sebagai contoh untuk dilaksanakan di negara mereka," katanya.
Baru-baru ini, Zambry dilaporkan berkata Malaysia dan Kyrgyz akan menyokong secara aktif pertukaran pengalaman pendidikan termasuk program pertukaran pelajar, program bersama bagi sarjana dan doktor falsafah, lawatan akademik serta projek penyelidikan secara kolaboratif.
Keputusan itu hasil pertemuan beliau dengan Menteri Pendidikan dan Sains Kyrgyz Dogdurkul Kendirbaeva ketika mengadakan lawatan ke negara berkenaan.
Bagi menjayakan lagi pelbagai agenda yang dirancang KPT, beliau mahu semua warga kementerian bekerja sebagai satu pasukan bagi merencanakan perancangan sektor pendidikan tinggi negara ini.
"Fokus kita adalah kepada perancangan 2024 ini yang (kejayaan) saya sebutkan tadi tentang pengantarabangsaan dan kita telah laksanakan. Maka kekalkan hubungan bekerja kita sebagai satu pasukan yang penting," katanya.
-- BERNAMA
#Zambry Abdul Kadir #baucar buku #RM100 #diberi secara berperingkat
;