Baucar buku boleh didapati di aplikasi DELIMa hari ini - KPM
Bernama
Mei 31, 2024 13:40 MYT
Mei 31, 2024 13:40 MYT
PUTRAJAYA: Baucar buku boleh mula didapati hari ini melalui aplikasi DELIMa mulai pukul 2 petang, umum Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan bahawa semua murid dan pelajar boleh mula mengakses aplikasi tersebut bagi tujuan berkenaan.
"Pemberian baucar buku yang melibatkan murid dan pelajar institusi pendidikan bawah KPM akan disalurkan bermula Jumaat, 31 Mei 2024, pukul 2.00 petang menerusi aplikasi DELIMa," menurut kenyataan itu.
Antara garis panduan ialah murid dan pelajar mengakses aplikasi DELIMa menggunakan pengenalan diri atau kata laluan DELIMa dan klik ikon Kota Buku Digital; murid dan pelajar mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing dan boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutamanya daripada judul cadangan MADANI.
Menurut KPM, setelah pelajar dan murid selesai memilih, mereka boleh daftar keluar dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai (e-store credit) bagi membolehkan proses penghantaran buku dibuat ke alamat yang telah didaftarkan.
KPM memberitahu langkah itu mencerminkan keperihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda.
"KPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Anwar atas pengumuman pemberian baucar buku RM50 kepada murid tahun 4 hingga tahun 6 dan RM100 kepada murid sekolah menengah, penuntut di institusi pendidikan tinggi dan pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPGM)," menurut KPM.
Langkah itu disifatkan bertepatan dengan usaha berterusan KPM untuk mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan murid dan pelajar menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat.
Semalam, Anwar dilaporkan mengumumkan pemberian baucar buku RM100 kepada golongan pelajar bermula petang ini, membabitkan murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta IPGM.
-- BERNAMA