Bau busuk di jeti Muara Tebas, petunjuk baharu kes Eric?

Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 18, 2022 23:50 MYT
Penduduk di Kampung Muara Tebas digemparkan kehadiran bau busuk seperti bangkai berhampiran jeti kecil sungai Muara Tebas malam tadi. - Astro AWANI
KUCHING: Penduduk di Kampung Muara Tebas di sini digemparkan kehadiran bau busuk seperti bangkai berhampiran jeti kecil sungai Muara Tebas malam tadi.
Menurut sumber, penduduk kampung tersebut telah menghidu bau busuk sejak tengah hari sebelum melaporkan perkara itu selepas bau tersebut muncul kembali sekitar jam 8 malam tadi.
Bertindak atas laporan tersebut, pihak polis melakukan tinjauan awal di lokasi sekitar jam 8 hingga 11 malam.
Tinjauan turut dilakukan di beberapa kawasan kediaman penduduk di sebuah jeti kecil tidak jauh daripada jeti utama lokasi suspek dipercayai membuang mangsa.
Namun, pihaknya tidak menemukan sebarang objek yang dikaitkan dengan bau busuk berkenaan.
Lokasi baharu yang dikenal pasti ini berada dekat dengan kediaman penduduk di atas air dan dipenuhi tumbuhan bakau.
Bagaimanapun belum dapat dipastikan sama ada bau yang dihidu adalah mayat Eric Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu.
Malah, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai hasil tinjauan yang dilakukan setakat ini.
Sebelum ini kehilangan kanak-kanak berusia empat tahun diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Mangsa dipercayai dibunuh sebelum dibuang ke sungai Muara Tebas.
Dua suspek yang merupakan pasangan penjaga kini direman sembilan hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#Eric Chang Wei Jie #kes bunuh #Muara Tebas #Seksyen 302 Kanun Keseksaan
;