Bau busuk cemar lorong belakang kedai Prima Setapak
Bernama
Disember 4, 2020 05:16 MYT
Disember 4, 2020 05:16 MYT
KUALA LUMPUR: Jika dilihat dari luar, deretan kedai di Prima Setapak di sini kelihatan bersih seperti kebanyakan kedai biasa, namun keadaan berbeza dapat dilihat di lorong belakang premis tersebut yang berbau busuk, kotor dan meloyakan.
Bau itu dipercayai berpunca daripada kotoran yang terdapat di struktur tambahan di belakang kebanyakan premis itu, selain tindakan pemilik meletakkan perkakas seperti sinki di atas longkang sehingga menutup saluran air di situ.
Situasi itu sekali gus mengakibatkan longkang tersumbat dan keadaan permukaan jalan yang lembap dengan bau kurang menyenangkan.
Pemilik restoran, Susie Kang, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab kebanyakan pengusaha premis membuang sisa makanan dalam longkang menyebabkan ia tersumbat dan memudahkan banjir kilat berlaku setiap kali hujan lebat.
"Air akan masuk ke dalam kedai apabila banjir kilat berlaku sehingga merosakkan jubin lantai," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Kang berkata struktur tambahan dibina di lorong belakang yang sudah sedia sempit juga menyebabkan lori tidak dapat masuk dan menghalang kerja pembersihan oleh syarikat pengurusan alam sekitar Alam Flora dalam menjalankan kerja pengurusan sisa dan bahan buangan.
Pemilik restoran, R. Raj Kumar, 50, pula berkata situasi itu juga mengganggu keselesaan pelanggan terutama ketika berlaku banjir kilat.
"Takungan air banjir kilat (paras buku lali) di atas jalan akan membuatkan air terpercik ke dalam kedai sehingga terkena pada pelanggan apabila kenderaan lalu di jalan itu," katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Dr Tan Yee Kew yang turut melakukan tinjauan di kawasan berkenaan berkata beliau memandang serius perkara itu dan telah berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan masalah itu pada kadar segera.
"Pihak DBKL memaklumkan akan memberi notis kepada pemilik premis untuk mengambil tindakan merobohkan sendiri struktur tambahan itu dan tidak meletakkan objek yang menutup dan menghalang saluran longkang dalam tempoh 14 hari, bermula hari ini," katanya.
Tan berkata kerja pembersihan oleh Alam Flora juga akan dilakukan bagi mengatasi situasi itu secepat mungkin.
-- BERNAMA
#Prima Setapak
#busuk
#longkang
#banjir
#Kuala Lumpur
#DBKL
#Parlimen
#tersumbat
#sisa makanan
#struktur tambahan
#lorong belakang
#Lori
#Alam Flora
#restoran
#Tan Yee Kew