Batuk Kokol: "Jangkitan bertoksin, boleh sebabkan antibiotik kurang berkesan" - Pakar Kesihatan Awam
Irfan Faruqi
Ogos 24, 2023 22:41 MYT
Ogos 24, 2023 22:41 MYT
KUALA LUMPUR: Jangkitan batuk kokol berbeza dengan jangkitan lain memandangkan bakteria punca penyakit tersebut mengeluarkan toksin pada sel saluran pernafasan.
Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, sekiranya tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan antibiotik yang diberikan doktor tidak berkesan sepenuhnya untuk merawat jangkitan.
“Batuk kokol ini agak berbeza dengan jangkitan yang lain kerana ia bersifat toksin yang disebabkan oleh jangkitan bakteria bordetella pertussis itu, tetapi ia menghasilkan toksin yang bertindak merosakkan sel pada saluran pernafasan dan akhirnya mengakibatkan komplikasi.
“Maksudnya, walaupun secara umum jangkitan bakteria boleh dirawat dengan antibiotik. Tetapi untuk batuk kokol ini, faktor tempoh masa untuk mendapatkan rawatan (sejurus mendapat jangkitan) itu penting.
“Kadang-kadang, apabila seseorang individu itu telah mendapat jangkitan agak lama, toksin dari bakteria itu telah dikeluarkan dan kemudian antibiotik diberikan, mungkin kadar keberkesanannya kurang berbanding sekiranya kita dapat bawa individu tersebut untuk mendapat rawatan secepat yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dr Malina turut menyatakan kebimbangan kepada keluarga yang mempunyai sejarah tidak menerima sebarang perlindungan vaksin daripada bakteria yang menjadi punca jangkitan batuk kokol.
Ini kerana ujarnya, tanpa perlindungan vaksin, pesakit mungkin terlewat menerima rawatan yang diperlukan memandangkan gejala batuk kokol boleh dikelirukan sebagai demam atau selsema biasa.
Menurutnya, jangkitan batuk kokol yang tidak dirawat secepat mungkin boleh menyebabkan komplikasi yang berat, termasuk membawa maut.
Namun, Dr Malina berkata jangkitan ini tidak perlu membimbangkan individu yang lengkap vaksinasi seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).