Batuk Kokol: "Jangan cium bayi, elakkan jangkitan kepada si kecil" - Pakar Kesihatan Awam

Irfan Faruqi
Ogos 24, 2023 22:32 MYT
Farhan berkata jangkitan batuk kokol terhadap bayi tidak boleh diambil ringan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak boleh mencium bayi bagi mengelakkan wabak batuk kokol menjangkiti si kecil.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor, Dr. Farhan Rusli berkata, setiap individu berpotensi menjadi pembawa bakteria pertussis walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.
“Kita harus ingat, banyak individu yang bawa penyakit pertussis ini dalam badan mereka, tetapi tidak menunjukkan tanda jangkitan kerana telah dilindungi. Mereka tidak semestinya tidak boleh menularkan atau menjangkiti orang yang mereka jumpa, terutamanya bayi-bayi.
“Jadi apabila kita sebut tentang majlis keramaian, berapa kerap dalam kerap kita nampak dalam keluarga kita sendiri, apabila ada bayi baru lahir, umur enam bulan dan sebagainya, semua sibuk datang untuk cium.
“Berapa dalam kalangan mereka yang kita yakin tidak membawa sebarang penyakit. Ini kerana, apabila ini berlaku meskipun kita rasa diri sihat, kemungkinan kita adalah pembawa penyakit dan menjangkiti bayi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Farhan berkata jangkitan batuk kokol terhadap bayi tidak boleh diambil ringan, memandangkan terdapat kes bayi yang dijangkiti batuk kokol tidak menunjukkan sebarang gejala.
Lebih parah, apabila kes juga merekodkan, bayi yang mengalami kesukaran bernafas dan patah tulang rusuk kerana tekanan dalam dada yang terlalu kuat akibat jangkitan berkenaan.
Batuk Kokol: Jangan cium bayi, elakkan jangkitan kepada si kecil - Pakar Kesihatan Awam
#bayi #batuk kokol #Pertussis #sebarang simptom
;