Batu Puteh: Singapura perlu hormat hak Malaysia teruskan semakan semula
Irfan Faruqi
Januari 30, 2023 17:10 MYT
Januari 30, 2023 17:10 MYT
Kuala Lumpur: Singapura seharusnya menghormati hak Malaysia untuk meneruskan semakan semula ke atas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai Pulau Batu Puteh.
Pensyarah Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Salawati Mat Basir, berkata isu ini melibatkan kedaulatan dua negara yang memerlukan seni diplomatik yang sangat tinggi.
"Saya percaya tidak mudah untuk Singapura membenarkan apa yang ingin kita lakukan terhadap semakan semula. Tetapi Malaysia memikirkan tentang kedaulatan. Kita berhak untuk melaksanakannya.
"Oleh itu, pada saya dalam hal ini, kita perlu sebenarnya duduk dengan Singapura. Kita harus faham bahawa mereka diberikan Batu Puteh, oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, tetapi kita mendapat Tubir Selatan," katanya ketika ditemu bual dalam program Pantau Kerajaan Baharu terbitan Astro AWANI.
Jelas Salawati, situasi ini menyebabkan Singapura tidak boleh memasuki Batu Puteh melainkan terpaksa melalui kawasan kedaulatan Malaysia.
"Ini yang menjadi pertikaian kerana Singapura akan memasuki kawasan tersebut tanpa memberitahu pihak Malaysia. Jadi kita sebagai sebuah negara yang berdaulat merasakan satu perkara yang tidak wajar dilakukan oleh jiran yang baik dengan Malaysia," tambahnya lagi.
Salawati bagaimanapun percaya Kementerian Luar dan Peguam Negara kedua-dua negara memahami perihal ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut yakin kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertidak sewajarnya untuk meleraikan pertikaian ini dengan teratur.