Batu asas utama sudah PM Ismail Sabri letakkan, kembali tumpu agenda jangka sederhana, panjang

Kenyataan Media
Ogos 20, 2022 12:17 MYT
Shahril yakin Perdana Menteri mempunyai visi dan perancangan ekonomi lebih meluas dan tersusun yang mana beliau menunggu masa terbaik untuk umumkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Setahun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memimpin negara menampakkan kemampuan beliau mengurus landskap ekonomi yang amat mencabar dengan beberapa keputusan tegas dan berani.
Ketegasan membuka sektor ekonomi tanpa kembali ke zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemansuhan permit import (AP) agromakanan, larangan eksport ayam dan senarai bantuan kewangan yang besar antara keputusan yang mungkin dipersoal sesetengah pihak, tetapi menampakkan hasil segera yang diperlukan pada ketika ini.
Hasilnya, inflasi kita pada tahap terendah di Asia Tenggara. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) paling laju di Asia Tenggara. Jumlah status bekerja melonjak 400,000. Semuanya hasil jangka pendek menunjukkan setahun pertama Datuk Seri Ismail Sabri berjaya.
Masih banyak cabaran yang mendepani, tetapi bawah tahun pertama beliau, batu asas utama telah diletakkan untuk Malaysia kini boleh kembali menjayakan agenda jangka sederhana dan panjang.
Saya yakin beliau mempunyai visi dan perancangan ekonomi lebih meluas dan tersusun yang mana beliau menunggu masa terbaik untuk umumkan. Setelah menstabilkan isu jangka pendek, lebih mudah menyusun soal jangka panjang.
Imej beliau mungkin nampak lemah lembut dan bersahaja. Tetapi di sebalik imej itu, beliau mempunyai ketegasan dan keberanian untuk membuat keputusan dasar, di samping kemampuan untuk mengurus pelbagai pemegang taruh dengan kemesraan sepertimana diakui banyak pihak termasuk yang berlainan parti.
SHAHRIL SUFIAN HAMDAN, Ketua Penerangan UMNO Malaysia
#ismail sabri yaakob #pencapaian setahun #Perdana Menteri #agenda negara
;