Batik Air tambah 18 penerbangan harian sempena PRU15

Bernama
Oktober 26, 2022 04:40 MYT
Batik Air menambah 18 penerbangan harian ke destinasi seperti Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu mulai 5 hingga 23 November. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Batik Air yang sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air meningkatkan penerbangan tambahan bagi destinasi domestik yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memenuhi peningkatan permintaan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam kenyataan semalam, syarikat penerbangan itu berkata, ia menambah 18 penerbangan harian ke destinasi seperti Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu mulai 5 hingga 23 November.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata penerbangan tambahan itu dilaksanakan susulan pengumuman tarikh pengundian PRU15 untuk memudahkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.
"Kami menjangkakan berlaku lonjakan permintaan, dan kami berharap penerbangan tambahan ini akan memberi keselesaan kepada rakyat Malaysia serta ahli politik semasa tempoh berkempen.
"Kami meminta pengembara untuk merancang perjalanan mereka dan memanfaatkan penerbangan tambahan yang kini tersedia untuk tempahan," katanya.
Untuk maklumat lanjut, layari platform media sosial Batik Air di Facebook, Instagram dan Twitter.
-- BERNAMA
#Batik Air #Malindo Air #PRU15 #penambahan penerbangan
;