Batik Air, AirAsia tawar bantuan kepada penumpang MYAirlines

Firdaus Azil
Oktober 12, 2023 12:20 MYT
Batik Air tawar harga penerbangan serendah RM199 ke destinasi tertentu, manakala AirAsia tawar diskaun 50 peratus.
KUALA LUMPUR: Dua syarikat penerbangan Malaysia, Batik Air dan AirAsia telah menawarkan beberapa penerbangan khusus dengan tambang istimewa bagi penumpang penerbangan MYAirline yang telah digantung operasinya buat sementara waktu.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Batik Air berkata, mereka menawarkan tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke destinasi berikut iaitu Pulau Pinang (RM129); Langkawi (RM159); Kuching (RM199); serta Bangkok (Don Mueang) dan Kota Kinabalu (RM299).
“Melihat kesulitan yang dihadapi oleh penumpang, sasaran kami ialah membantu mereka supaya dapat sampai ke destinasi yang dituju dengan mudah.
"Kami berada di sini untuk menyokong penumpang yang terkesan dalam tempoh ini,” kata Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air dan Lion Group, Datuk Chandran Rama Muthy.
Batik Air berkata, penumpang MYAirline boleh melampirkan bukti pembelian tiket awal mereka dan membuat tempahan melalui email kepada mya@batikair.com.my sehingga 30 November ini.
Sementara itu, AirAsia mengumumkan diskaun 50 peratus berdasarkan harga tambang asas untuk penumpang MYAirline, yang telah membeli tiket penerbangan ke Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Tawau, Don Mueang- Bangkok dan Suvarnabumi, Bangkok sehingga 30 November ini.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam, berkata, sebagai sebahagian daripada masyarakat penerbangan, mereka bersimpati terhadap nasib yang menimpa penumpang dan petugas MYAirline.
“Kami memahami tekanan dan gangguan susulan situasi sebegini, dan kami berharap diskaun 50 peratus ini dapat membantu pelanggan terkesan untuk membuat tempahan baharu, dan menggunakan rangkaian penerbangan kami yang luas ke semua destinasi utama.
“Ingatan kami juga kepada kesemua petugas berdedikasi yang terkesan dengan situasi ini. Kami menghargai bakat dan pengalaman yang dimiliki oleh oleh mereka dan kami ingin menghulurkan bantuan.
“Kami dengan berbesar hati ingin mengumumkan pertimbangan untuk mengambil individu yang berkelayakan, yang turut berkongsi semangat AirAsia terhadap industri dan bersedia untuk menyumbang kemahiran dan pengalaman mereka kepada pasukan kami.
"Kami menggalakkan petugas MYAirline untuk meneroka kemungkinan menyertai keluarga Allstars,” katanya lagi.
#Batik Air #AirAsia #MYAirline #penerbangan Malaysia
;