Batalkan jaminan ADB ibarat balas dendam kepada rakyat Pulau Pinang - Guan Eng
Astro Awani
November 30, 2020 13:39 MYT
November 30, 2020 13:39 MYT
KUALA LUMPUR : Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terus mempertikaikan keputusan kerajaan yang membatalkan jaminan pinjaman RM2 bilion dari Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.
Menurutnya, keputusan itu yang dibuat tanpa sebarang justifikasi kewangan yang kukuh dilihat seperti satu pembalasan dendam politik terhadap rakyat Pulau Pinang.
Tambah beliau, semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah, negeri pembangkang tetap diberi bantuan kewangan ketika mereka tidak dapat menampung perbelanjaan mengurus.
“Sungguhpun kami berbeza dengan ideologi perkauman dan ekstremisme agama Pas, saya telah meluluskan dana kecemasan sebanyak RM100 juta kepada Kelantan selaku Menteri Kewangan.
"PH turut menepati janjinya terhadap pembayaran royalti minyak dengan membayar RM400 juta kepada Kelantan dan RM200 juta kepada Pahang. Ini tidak pernah dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum ini.
"Malangnya, Kerajaan Kelantan memilih untuk membeli Mercedes Benz untuk ahli Exco Negeri daripada membantu orang miskin di Kelantan. Namun PH dan saya terus dituduh sebagai anti-Melayu atau anti-Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, jaminan itu adalah kecil jika dibandingkan dengan Pulau Pinang yang sebelum ini menerima peruntukan 3 peratus daripada pembayaran RM7 bilion cukai tahunan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Berbanding peruntukan langsung RM2 bilion, ini hanyalah berbentuk jaminan dan tidak memberi risiko kepada Kerajaan Persekutuan.
“Ini kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai rekod prestasi yang terbukti untuk tidak memungkiri kewajipan pembayaran hutang.
“Prestasi kewangan Pulau Pinang yang kukuh sejak 2008 terbukti dengan jumlah hutang paling rendah di antara semua negeri di negara ini sebanyak RM58 juta pada akhir 2018,” ujarnya.
Tegasnya lagi, situasi itu jauh berbeza dengan negeri-negeri yang berhutang dengan kerajaan Persekutuan lebih daripada RM3 bilion dan gagal membayar balik pinjaman.
“Mengapakah Kerajaan Persekutuan boleh bertolak ansur dengan hutang yang belum dibayar sebanyak RM3 bilion daripada negeri-negeri sekutu politik berbanding RM58 juta hutang sedia ada Pulau Pinang atau dengan RM2 bilion jaminan pinjaman ADB,” katanya.
#Lim Guan Eng
#DAP
#Menteri Kewangan
#ADB
#Bank Pembangunan Asia
#jaminan
#LRT
#pulau pinang
#Pakatan Harapan
#PH
#PAS
#bank
#kerajaan
#pembangkang
#cukai
#penjawat awam
#rakyat
#menteri