#BatalGST: Polis buru golongan anarkis cetuskan huru hara - Zahid
Astro Awani
Mei 2, 2015 17:00 MYT
Mei 2, 2015 17:00 MYT
Tindakan tegas akan diambil terhadap golongan anarkis yang bertindak agresif di himpunan bantah GST di Kuala Lumpur semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba menggugat keamanan dan kententeraman awam termasuk cuba memburukkan imej negara.
Beliau berkata, golongan itu dilihat sengaja melakukan provokasi terhadap pihak polis supaya polis melakukan kekerasan terhadap mereka.
Petugas media mengambil risiko demi merakamkan aksi peserta #BatalGST pada Jumaat yang membakar suar ketika menyertai 'Perhimpunan Bantah GST' - Foto Bernama
“Kedegilan mereka cukup ketara terutama puak anarkis dan kita tahu pemimpin hanya berucap tetapi puak anarkis harus diambil tindakan dan mereka berhajat untuk berikan gambaran yang buruk. Kami ada gambar mereka dan kami ada saksi. Jangan marah-marah kalau kerajaan ambil tindakan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan himpunan membantah GST yang menyaksikan berlaku kekecohan oleh golongan pelampau.
Beberapa peserta 'Perhimpunan Bantah GST' mengambil peluang berkelakuan melampau dengan menendang dan merosakkan pembahagi jalan di sekitar ibu kota, pada Jumaat. - Foto Bernama
Kumpulan itu bertindak mencetuskan kekecohan dengan menconteng dinding premis perniagaan di ibu kota termasuk menggunakan bom asap berwarna serta melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan.