#BatalGST: Perhimpunan mula di Pasar Seni hingga KLCC

Astro Awani
April 30, 2015 18:07 MYT
#BatalGST: Perhimpunan mula di Pasar Seni sehingga KLCC - Gambar fail
1 Mei merupakan kemuncak protes pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bermula dengan kempen berpakaian hitam pada setiap Sabtu sejak awal April.
BACA: Bantah GST: Sekretariat Kita Lawan sasar 1 juta berhimpun 1 Mei
Perhimpunan yang dijadual diadakan esok pada pukul 2.30 petang dijangka bermula dari Pasar Seni dan berakhir di KLCC.
Protes anjuran Jawatankuasa Mei 1 yang terdiri daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan mahasiswa itu turut mensasarkan satu juta rakyat untuk bersama mereka di sekitar ibu kota.
Menurut jurucakap sekretariat, langkah ini sebagai usaha menuntut pembatalan pelaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan serta merta.
"Setiap rakyat Malaysia berhak untuk merayakan Hari Pekerja. Selain itu, perayaan Hari Pekerja juga adalah sebahagian daripada acara yang direstui di bawah program International Labour Organisation (ILO).
"Sudah menjadi tradisi Jawatankuasa Mei 1 untuk menyambut Hari Pekerja dengan adanya ucapan daripada wakil-wakil kumpulan masyarakat, persembahan, pembacaan deklarasi yang mengandungi tujuh belas tuntutan kepada pihak kerajaan.
Tuntutan ini disokong oleh 121 organisasi. Selepas program kami akan berjalan secara aman dari Pasar Seni ke KLCC.
Himpunan aman Hari Pekerja ini juga akan dipantau oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata kenyataan itu lagi, sambutan tahun ini turut disertai oleh Himpunan Hijau, Bersih, Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), kumpulan-kumpulan Sivil, anak muda, pelajar dan mahasiswa, komuniti orang asal, peneroka bandar dan pekerja ladang.
Pada Mac, penyerahan Memorandum kepada Kastam oleh Gabungan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Ibu Pejabat Kastam di Kelana Jaya menjadi kecoh selepas pertengkaran berlaku di antara polis dan sekretariat Bantah GST.
Sebelum ini, sebuah gabungan yang dinamakan Gabungan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan hari ini mengadakan 'Flash Mob Bantah Cukai GST' dan 'Kempen Kesedaran Mengenai Kesan Negatif GST Kepada Rakyat' di beberapa plaza tol seluruh negara.
#cukai #gabungan bantah #GST #kita lawan #KLCC #NGO #NUBE #Pasar Seni
;