#BatalGST: Cubaan raih simpati, tutup kelemahan pembangkang - Armand
Astro Awani
Mei 1, 2015 20:44 MYT
Mei 1, 2015 20:44 MYT
Himpunan #BatalGST yang diadakan di ibu negara hari ini merupakan cubaan pembangkang meraih simpati rakyat terhadap pelbagai isu yang melanda pembangkang hari ini.
Exco Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, pembangkang juga sengaja menggunakan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk menarik perhatian peserta untuk turun berhimpun di tengah bandaraya.
"Mereka mencemari hari cuti rakyat dengan himpunan batal GST dan memberi keterangan palsu tentang cukai yang memberi banyak kemajuan kepada rakyat dalam jangka masa panjang.
"Ia sekadar usaha meraih simpati untuk menutup masalah pakatan selain menunjukkan keretakan sesama sendiri selepas pemimpin kesayangan mereka (Datuk Seri Anwar Ibrahim) masuk penjara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada Jumaat, dianggarkan lebih 10,000 peserta berhimpun di Pasar Seni hari ini bagi mendesak kerajaan membatalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum berarak dan berhimpun di KLCC di ibu negara.
Ribuan sertai perarakan #BatalGST 1 Mei - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Kata Armand, rakyat sendiri faham kerajaan sentiasa membuat penambahbaikan terhadap GST selain sentiasa mendengar aduan rakyat melalui saluran yang disediakan.
"Mereka berhimpun, mengangkat sepanduk dan menjerit sedangkan kerajaan sudah menyediakan platform jika ada masalah atau aduan mengenai GST.
"Kerajaan sentiasa mahu yang terbaik buat rakyatnya, pelaksanaan GST merupakan salah satu daripadanya. Rakyat mungkin masih belum nampak kerana GST baharu satu bulan dilaksanakan," ujarnya.
Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Lokman Noor Adam berkata, kegagalan memahami maksud dan kebaikan GST dilihat punca utama perhimpunan bantah GST diadakan.
Tegas Lokman, bantahan dilihat bermula daripada ketidakfahaman selain usaha pembangkang dalam memanipulasi isu ini dalam memburukkan kerajaan.