Batal SOSMA buka ruang provokasi kaum, agama - Zahid

Bernama
Julai 23, 2018 22:45 MYT
Ahmad Zahid berkata, UMNO memandang berat logik di sebalik cadangan pemansuhan akta itu yang digubal untuk menjaga ketenteraman awam. - BERNAMA/Fail
Cadangan membatalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan membuka lebih banyak ruang provokasi antara kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata parti itu memandang berat logik di sebalik cadangan pemansuhan akta itu yang digubal untuk menjaga ketenteraman awam daripada anasir yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara dan tidak langsung menyentuh soal politik individu.
"Dengan cadangan untuk menarik balik undang-undang 'draconian' yang beliau (Tun Dr Mahathir) sendiri pertahankan antara tahun 1981 dan 2003, dikhuatiri negara akan lebih terancam dengan meledaknya era 'free for all' internet dan media massa, serta perbuatan yang menjurus ke arah menggugat ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya SOSMA.
BACA: Kerajaan akan mansuhkan Sosma - Dr Mahathir
Dengan hasrat melupuskan Akta Hasutan 1948 dan Akta Anti-Berita Palsu 2018, kerajaan nampaknya mahu menggalakkan provokasi dan sentimen agama, kaum dan politiki dalam negara, kata Ahmad Zahid yang juga Ketua Pembangkang dalam Parlimen.
"UMNO khuatir ada pihak yang menunggu peluang ini bagi menyebarkan hasutan serta dakyah dalam kalangan rakyat. Kesannya amat menakutkan, dan rakyat tidak lagi akan berasa selamat dalam suasana sedemikian," katanya.
Katanya, UMNO percaya kerajaan juga akan membatalkan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) yang memagari negara daripada sebarang kegiatan berunsurkan keganasan ala DAESH dan militan lain. -- Bernama
#Akta Kesalahan Keselamatan #keselamatan negara #Mahathir Mohamad #SOSMA #Zahid Hamidi
;