Batal pendaftaran, Sekretariat MTC berhasrat jumpa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
Bernama
Julai 26, 2023 04:30 MYT
Julai 26, 2023 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sekretariat Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) berharap dapat diberi peluang untuk bertemu dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dalam masa terdekat, berhubung pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Menurut kenyataan daripada sekretariat MTC pada Rabu, pertemuan itu bertujuan membincangkan isu berkenaan dengan meluas dan mencari penyelesaian yang adil untuk mengekalkan inti pati MTC dan peranan pentingnya dalam memajukan industri pelancongan Malaysia.
"Walaupun laluan di hadapan masih samar, keazaman MTC untuk menjadi penggerak bagi industri pelancongan Malaysia kekal teguh. Bersama-sama, kami akan menjadi lebih kuat, menerima cabaran baharu dan peluang yang menanti," menurut kenyataan itu.
Bekas Setiausaha Agung MTC Noorzaleha Baharuddin semalam berkata RoS telah mengeluarkan surat pembatalan berkuat kuasa 20 Julai, terhadap MTC selepas siasatan terperinci mendapati pertubuhan itu dengan sengaja melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Menurut kenyataan itu, sekretariat MTC percaya dalam menegakkan keadilan dan mempertahankan kesucian perlembagaannya dan berharap kebenaran dan keadilan akan ditegakkan.
Dalam masa yang sukar ini, sekretariat MTC merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli, rakan kongsi dan pihak berkepentingan yang telah menunjukkan sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada MTC.
"Perpaduan anda amat berharga kepada kami, dan kami akan terus memperoleh kekuatan daripadanya ketika kami menempuh waktu sukar ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA