Batal Kidex keputusan Azmin paling pelik - Johan

Wan Syamsul Amly
Februari 17, 2015 12:46 MYT
JOHAN: Batal Kidex keputusan Azmin paling pelik. -Gambar fail
Pembatalan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) yang bakal memberi kemudahan kepada rakyat dilihat keputusan paling pelik tahun ini oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata keputusan pembatalan projek lebuh raya itu hanya boleh diumum selepas mempertimbang kembali kemahuan rakyat negeri itu sendiri.
"Apa dasar Azmin membuat keputusan membatalkan Kidex? Apakah dia fikir dengan sewenang-wenangnya membatalkan projek untuk kemudahan rakyat Selangor itu dapat menyelesaikan semua isu di negeri ini?
"Kidex bakal menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini, di mana bukti rakyat tidak mahu Kidex dan tiba-tiba menghentikan projek yang membuktikan kemajuan Selangor sendiri?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Johan mengulas pembatalan Kidex oleh Azmin dengan alasan kerajaan negeri mendapati pihak Kidex gagal mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui sebelum tarikh akhir 14 Februari 2015.
Kata Azmin lagi, kerajaan Selangor juga sebelum ini telah meminta syarikat itu untuk menyediakan penilaian bebas tentang impak lalu lintas, sosial dan alam sekitar untuk membuktikan manfaat lebuh raya itu kepada penduduk di kawasan terlibat.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Kidex Sdn Bhd (KSB), Datuk Mohd Nor Idrus memaklumkan pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung pembatalan projek itu oleh kerajaan Selangor.
Jelas Mohd Nor, ini adalah kerana perjanjian konsesi yang ditandangani pada November 2013 melibatkan pihak KSB dan Kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini menyifatkan Azmin bakal menjadi 'bapa' segala hipokrit jika memutuskan untuk meneruskan Kidex.
Tegas Noh, Azmin sudah mula menunjukkan sikap sebenarnya dan melupakan hasrat untuk menjadi pemimpin berjiwa rakyat.
Dalam pada itu, kata Johan, Azmin seharusnya juga membatalkan projek Datum Jelatek yang dilihat bakal meminggirkan penempatan Melayu di Keramat.
"Azmin kini perlu mengambil kira bantahan serta pandangan penduduk yang membantah projek Datum Jelatek selepas tidak mempedulikan suara rakyat yang mahu Kidex diteruskan demi kemudahan pada masa hadapan.
"Kita cabar Azmin untuk membatalkan Datum Jelatek dan buktikan cita-citanya untuk mendengar suara hati rakyat semasa mula-mula menjadi menteri besar dahulu, dan bukan hanya cakap kosong semata-mata," ujarnya.
Projek Datum Jelatek yang bermula pada 2008 di atas tapak seluas 2.4 hektar di sebelah Stesen LRT Jelatek, melibatkan pembangunan empat blok bangunan kondominium mewah, hotel, pejabat dan pusat beli-belah.
Projek itu sebelum ini dibantah penduduk tempatan yang mengatakan ianya bertujuan ‎menukar kawasan majoriti Melayu itu menjadi 'Chinese District' apabila projek kondominium itu hanya mampu dimiliki kaum Cina dan warga asing dari China.
Harga perumahan projek tersebut juga difahamkan dianggarkan berharga sekurang-kurangnya RM700,000 seunit.
#Azmin #Datum Jelatek #johan #kiedx #Selangor
;