Batal HSR: Najib dakwa Malaysia perlu bayar pampasan sekitar RM310 juta kepada Singapura

Hasimi Muhamad
Januari 1, 2021 10:17 MYT
Najib Tun Razak dakwa Malaysia perlu membayar pampasan sekitar RM310 juta kepada Singapura susulan pembatalan projek HSR. -Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: SUSULAN pembatalan perjanjian Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Malaysia perlu membayar pampasan sekitar RM310 juta kepada Singapura.
“Kerajaan Singapura umum projek HSR KL-Singapura telah batal dan negara itu akan tuntut pampasan dari kita.
“Antara alasan rasmi diberi Malaysia kenapa nak batal ialah COVID-19.
“Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah bayar RM45 juta kepada Singapura sebab tangguhkan projek ke akhir tahun 2020,” demikian kata beliau dalam entri di Facebook, hari ini.
Sumber Facebook najibrazak
Justeru, jelas Najib, penamatan perjanjian Projek HSL menyaksikan ia terbatal secara sendiri.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pekan itu juga mendakwa projek HSR Kuala Lumpur-Singapura akan digantikan dengan Projek Kereta Api Kelajuan Sederhana (MHSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru (KL-JB).
Menerusi entri berasingan, Najib berkata kos pembinaan bagi MHSR KL-JB juga dilaporkan di antara RM63 bilion hingga RM65 bilion, dan ia tidak jauh beza dengan kos asal pembinaan HSR KL-Singapura sebanyak RM60 bilion hingga RM68 billion.
"Akibat penukaran ini, jumlah penumpang setahun juga dijangka turun dari 8.4 juta setahun ke 4.2 juta menjelang tahun 2031.
"Ini akan memberi impak yang amat besar dari segi harga tiket (pengguna dari Singapura mampu membayar tambang lebih mahal) dan jumlah penumpang sehingga projek ini mengalami kerugian besar tahunan memanjang.
"Bermakna kerajaan mungkin akan perlu membayar ganti rugi setiap tahun atau bail-out operator HSR pada masa depan," katanya.
Menurutnya, projek MHSR KL-JB akan menjadi lebih perlahan berbanding kelajuan asal 350 kilometer sejam.
Secara sinis, Najib berkata projek MHSR KL-JB hanya akan bersaing dengan projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB).
"Akibatnya, manfaat ekonomi bagi Malaysia dari projek ini akan berkurang beberapa trillion ringgit menjelang tahun 2050.
"Tetapi satu manfaat bagi kerajaan Malaysia ialah kerajaan boleh membuat segala keputusan perolehan untuk memberi kontrak kepada mana-mana pihak dengan sendirinya berbanding model JV dahulu di mana segala proses perolehan dan pemilihan vendor perlu ditimbang, dilaksanakan dan dipantau secara bersama oleh kedua-dua negara.
"Alasan yang akan diberi kenapa batal dan tukar ke KL-JB dipercayai adalah Singapura tidak benarkan HSR berhubung dengan KLIA.
"Ini tidak benar kerana rancangan asal ialah untuk HSR berakhir di Bandar Malaysia.
"Sebuah stesen ERL juga akan dibina di Bandar Malaysia sebab trak ERL KL Sentral-KLIA lalu berhampiran Bandar Malaysia," tambah beliau.
Justeru, tegas Najib, jika benar projek tersebut akan digantikan dengan MHSR KL-JB, ia akan menyebabkan kerugian trilion ringgit kepada negara dalam tempoh 50 tahun akan datang.
"Sebab, walaupun kos projek agak sama tetapi jumlah pendapatan HSR, daya penarikan pelaburan asing serta manfaat ekonomi (kerana tiada lagi cerita integrasi ASEAN) bagi Malaysia adalah jauh lebih rendah," katanya.
Terdahulu, perjanjian Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura disahkan telah berakhir pada 31 Disember 2020, sekali gus menyaksikan projek tersebut terbatal secara sendirinya.
BACA: Projek HSR tamat perjanjian, terbatal secara sendiri
Dalam kenyataan bersama Malaysia-Singapura hari ini memaklumkan kedua-dua negara akan mematuhi syarat masing-masing dan melakukan tindakan yang diperlukan akibat penamatan perjanjian projek HSR.
#Perjanjian Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi HSR #HSR batal #HSR Malaysia #HSR Singapura #bayar pampasan #Projek Kereta Api Kuala Lumpur-Johor Bahru #Projek Kereta Api Kelajuan Sederhana #RM310 juta #Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru #PLBEGJB
;