Basmi pembiakan Aedes langkah paling berkesan tangani Zika - Dr Subramaniam

Bernama
September 1, 2016 22:01 MYT
Tempat pembiakan nyamuk Aedes perlu dihapuskan sepenuhnya. - Gambar fail
Langkah membasmi pembiakan nyamuk Aedes merupakan langkah terbaik bagi menangani penularan virus Zika di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Sehubungan itu beliau berkata kementeriannya meletakkan langkah itu untuk diberi perhatian paling utama dalam usaha menghapuskan virus berkenaan dan berharap masyarakat dapat memberikan kerjasama penuh bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman mereka.
"Kita mesti bersedia hadapi itu (virus Zika) dan tumpuan akan diberikan kementerian paling tinggi kepada membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes kerana nyamuk ini adalah pembawa (virus Zika).
Sebab itu kita harap melalui langkah ini boleh kurangkan penularan penyakit ini kepada orang lain. Tiada Aedes tiada Zika," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MIC Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini malam ini.
Malaysia mencatat kes virus Zika pertama apabila seorang wanita berusia 58 disahkan positif virus itu selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos lepas.
Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata langkah saringan penyakit di pintu sempadan tidak akan dapat menyekat 100 peratus kemasukan virus Zika ke negara ini.
Beliau berkata ini kerana simptom jangkitan virus Zika yang sukar dikesan dan kebocoran di pintu sempadan yang berlaku menyebabkan risiko kemasukan virus itu ke negara ini adalah tinggi.
"Kita memang sediakan saringan secara berkesan di pintu masuk seperti lapangan terbang tetapi mereka (dijangkiti Zika) tidak punya tanda seperti demam juga ada kebocoran di pintu sempadan.
Ini bukan perkara mudah (saringan Zika di sempadan) dan kita kena faham kerana ini risiko virus Zika masuk ke negara ini adalah tinggi," katanya.
#banteras Zika #basmi Zika #habitat Aedes #hapuskan aedes #subramaniam #virus Zika
;