Basmi kemiskinan: Umat Islam perlu guna pendekatan lebih meluas, selaras - Sultan Nazrin

Bernama
Julai 29, 2024 15:00 MYT
Sultan Nazrin bertitah majoriti penduduk Islam masih terdiri dalam kalangan mereka yang termiskin di dunia. - Gambar fail
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam perlu menggunakan pendekatan dalam skala yang lebih luas dan selaras, dalam usaha membasmi kemiskinan multidimensi tegar yang sedang melanda dunia.
Baginda bertitah majoriti penduduk Islam masih terdiri dalam kalangan mereka yang termiskin di dunia.
"Apa yang merisaukan beta apabila kajian menunjukkan walaupun di negara dengan pembangunan manusia sangat tinggi, penduduk Islam masih hidup dalam serba kekurangan, contohnya di United Kingdom kira-kira separuh umat Islam dianggarkan hidup dalam kemiskinan, berbanding hanya 18 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhan.
"Adalah tidak wajar apabila begitu ramai saudara Islam di seluruh dunia hidup tanpa sumber untuk menampung keperluan asas harian mereka, kita tidak mampu bersatu jika ada dalam kalangan kita perlu berjuang hanya untuk meneruskan kehidupan," titah baginda pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia ke-7 (WCIT2024).
Turut hadir pada persidangan antarabangsa yang bertemakan 'Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat' itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
#Sultan Nazrin Shah #Umat Islam #kemiskinan #tamadun Islam
;