Basmi campur tangan politik dalam institusi: RCI jalan pertama - Asyraf Wajdi

Harits Asyraf Hasnan
Mei 8, 2021 16:56 MYT
Menyifatkan ia sebagai langkah awal, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan penubuhan RCI antara cara untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi penting negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk menyiasat isu berkait campur tangan politik dalam badan-badan penting negara seperti sistem undang-undang dan keselamatan.
Menyifatkan ia sebagai langkah awal, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan ia antara cara untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi penting negara.
Ia termasuk isu terpalit Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador
"Kami (Pemuda UMNO) mahu perkara ini diperhalusi termasuk menyiasat segala pendedahan yang besar ini.
"Ia telah memberi implikasi besar bukan sahaja dalam konteks keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem atau institusi yang seharusnya menjadi benteng mempertahan dan memelihara undang-undang dan keselamatan negara.
"Pada masa sama, kepercayaan dan keyakinan pihak luar, terutama pelabur-pelabur asing terhadap aspek ini, iaitu sistem kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Jelasnya, penubuhan RCI tidak terhad kepada melakukan siasatan sahaja.
Sebaliknya, syor yang dikemukakan perlu dilaksanakan dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta institusi utama negara terus terpelihara.
"Aspek tadbir urus pelbagai badan-badan yang seharusnya dilihat bebas daripada campur tangan politik, mesti diletakkan semula di landasan yang betul.
"Kita tak perlu cakap soal yang lampau, sebaliknya kita harus bergerak ke hadapan.
"Sudah tentu, saya rasa generasi hari ini terutama generasi muda mereka begitu objektif dan bijaksana untuk menilai," katanya.
Pada Jumaat, Pengerusi Lembaga Pengarah, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz menggesa supaya pengasingan kuasa melibatkan badan eksekutif, judisiari dan legislatif perlu lebih jelas dan dilaksanakan sewajarnya di negara ini.
#Asyraf Wajdi Dusuki #reformasi pentadbiran #pengasingan kuasa #campur tangan politik #undang-undang #keselamatan #politik #Ketua Polis Negara #ekonomi #polis #Polis Diraja Malaysia #Pemuda UMNO #RCI #suruhanjaya siasatan
;