Basikal lajak: 'Sediakan litar, tak perlu haramkan' - Pekida Kelantan
Sinar Harian
November 2, 2019 10:22 MYT
November 2, 2019 10:22 MYT
Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kelantan berharap kerajaan tidak mengharamkan aktiviti basikal lajak sebaliknya perlu menyediakan satu kawasan khusus atau litar kepada penggemar aktiviti basikal lajak.
Setiausahanya, Mudzahar Makhtar berkata, langkah tersebut amat penting bagi memastikan tahap keselamatan penunggang basikal lajak itu terjamin.
"Sebelum ini kita lihat banyak masalah timbul di jalanan apabila penunggang basikal lajak ini beraksi sehingga mengganggu lalu lintas.
"Memang mereka tidak sepatutnya beraksi di jalan raya, tetapi, di manakah tempat yang sesuai untuk mereka menjalankan aktiviti tersebut?
"Sebab itu kerajaan perlu lihat balik perkara ini, jika ia perlukan satu kawasan khas, maka kerajaan perlu fikirkan inisiatif yang sesuai," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, minat dan hobi menunggang basikal lajak ini tidak boleh dihalang memandangkan ia hanyalah bersifat sukan berbasikal semata-mata.
Beliau berkata, malah minat kanak-kanak dan remaja terhadap aktiviti tersebut perlu disokong semua pihak, namun dengan cara dan langkah yang bersesuaian.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Wong Yau Duenn berkata, kegiatan menunggang basikal lajak yang sudah diubah suai wajar diharamkan bagi mengelak sebarang risiko kemalangan ke atas penunggangnya atau pengguna jalan raya lain.
Pengharaman tersebut perlu dibuat secara menyeluruh kerana ia memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.
BACA: "Abang tahu adik hati kering, kalau abang laju tadi..." - Shahrol Shiro tegur geng basikal lajak
#basikal lajak
#kawasan khusus
#litar
#Mudzahar Makhtar
#pekida kelantan
#Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia