Bas terjunam ke dalam gaung, 7 nyaris maut
Bernama
Julai 19, 2015 18:14 MYT
Julai 19, 2015 18:14 MYT
Sebuah bas ekspres yang membawa lima penumpang serta dua pemandu terbabas dan terjunam ke dalam gaung di KM436 berhampiran susur keluar Sungai Buaya di Rawang di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R. Supramaniam berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 6.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila pemandu gagal mengawal kenderaan berkenaan.
"Bas yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur itu dilaporkan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu menjunam masuk ke gaung di tepi jalan.
"Tambahan pula, hujan lebat dilaporkan berlaku di kawasan kemalangan ketika kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Supramaniam berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.