Bas terbalik di Kuala Kubu, 6 parah dan 18 cedera

Astro Awani
November 5, 2017 11:08 MYT
Kemalangan berlaku di kilometer 434.9 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke ibu negara berdekatan Kuala Kubu Bharu, Selangor sekitar jam 4.30 pagi tadi. - Foto Astro AWANI
55 penumpang sebuah bas eskpres berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik pagi tadi.
Kemalangan berlaku di kilometer 434.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke ibu negara berdekatan Kuala Kubu Bharu, Selangor sekitar jam 4.30 pagi tadi.
Daripada 55 mangsa itu, 18 penumpang cedera dengan enam daripada mereka mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di zon merah Hospital Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Suprintenden Lim Bak Phai berkata pihaknya menerima panggilan kira kira jam 4.52 pagi dan mengerahkan sepasukan 21 anggota dari balai Kuala Kubu Bharu dan Rawang ke lokasi kejadian.
Ketika pasukan penyelamat bas berkenaan didapati berada dalam keadaan terbalik dan ada beberapa penumpang tersepit.
Anggota Bomba dan Penyelamat dari Kuala Kubu kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit termasuk 4 yang parah untuk dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan.
Pemandu yang cedera ringgan juga telah diarah menjalani ujian air kencing.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kemalangan.
Polis menasihatkan pengguna jalanraya lebih berhati hati memandu ketika cuaca yang lembab dan hujan kerana jalan licin.
#bas #bas terbalik #ekspres #Hospital #hujan #Hulu Selangor #kemalangan #Kuala Kubu Bharu #Lebuhraya PLUS #mangsa #Serendah
;