Bas terbakar: Empat termasuk pemandu nyaris maut
Vivi Sumanti
Oktober 30, 2019 08:53 MYT
Oktober 30, 2019 08:53 MYT
Empat individu termasuk seorang pemandu bas nyaris maut apabila sebuah bas dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang terbakar di simpang tiga Felda Chiku 1, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, bas berkenaan yang dalam perjalanan menghantar penumpang di Felda Chiku 1 tiba-tiba berasap di bahagian hadapan.
Tindakan pantas pemandu yang memberhentikan kenderaan itu dan mengarahkan tiga penumpang turun berjaya menyelamatkan nyawa mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.02 malam.
Katanya, seramai 10 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, bas berkenaan sudah dijilat api.
"Kami mengambil masa selama 20 minit untuk memadamkan kebakaran dan keadaan bas itu musnah keseluruhan.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung pemilik bas terbabit masih dalam siasatan," kata Mohd Arifuddin.
#bas
#Felda Chiku 1
#Gua Musang
#kebakaran
#Kuala Krai
#Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor
#nyaris maut
#penumpang