Bas terbabas ke dalam parit, 28 penumpang, pemandu terselamat

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 3, 2022 19:53 MYT
Beginilah keadaan bas persiaran yang terbabas ke dalam parit di Kilometer 60, Arah Selatan, Lebuhraya Utara Selatan, hari ini. - Gambar ihsan JBPM
PENDANG: Seramai 29 penumpang termasuk pemandu bas persiaran nyaris maut apabila bas yang dinaiki mereka terbabas dan masuk ke dalam parit di Kilometer 60, Arah Selatan, Lebuhraya Utara Selatan, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bilik gerakan bomba menerima panggilan pada pukul 3.25 petang.
“Seramai 18 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Alor Setar dan Jalan Raja dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi mendapati kebanyakan mangsa telah berada di luar bas selepas dibantu orang awam.
“Pemeriksaan dilakukan anggota mendapati 11 mangsa mengalami kecederaan dan terus dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Manakala 18 mangsa lain tidak mengalami kecederaan.
Katanya, bas persiaran itu dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand menuju Kampar, Perak.
#bas terbabas #28 penumpang terselamat #pemandu bas #Lebuhraya Utara Selatan
;