Bas rempuh tujuh kenderaan, pengguna Jalan Ampang saksi adegan mendebarkan

Astro Awani
Ogos 16, 2018 23:28 MYT
Paparan dari sebuah video tular pada Khamis malam melibatkan sebuah bas yang dipandu laju hingga merempuh beberapa buah kenderaan lain. - Media Sosial.
Pengguna jalan raya di sekitar kawasan Ampang di ibu negara pada Khamis malam dikejutkan dengan insiden sebuah bas yang dipandu laju hingga merempuh beberapa buah kenderaan lain.
Insiden itu dipercayai bermula di kawasan Keramat berdekatan dengan sebuah kilang pemproses produk farmaseutikal di Keramat hinggalah berakhir di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Insiden itu mula menjadi kecoh dan tular di media sosial apabila rakaman orang awam yang menjerit sambil menunggang motosikal cuba mengejar bas tersebut.
Dalam video tersebut, bas yang dipandu secara semberono itu juga akhirnya terhenti setelah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas apabila masuk ke susur MRR2.
Pemandu bas tersebut juga telah ditahan oleh orang awam sementara menunggu kedatangan pihak berkuasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya mengesahkan kejadian tersebut kepada Astro AWANI.
“Insiden itu bermula dari kawasan berdekatan kilang Texas Instruments di Keramat, sebelum bas itu meluru masuk ke arah Jalan Jelatek dan membelok ke Jalan Ampang menuju Ampang Point.
“Ia melibatkan sebuah bas dan tujuh kenderaan lain. Setakat ini (maklumat) tentang kecederaan masih belum diketahui. Siasatan masih dijalankan,” ujarnya.
Sementara itu, berikut adalah respons daripada Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Shamsul Rizal Mohd Yusof berkenaan insiden itu dalam satu sidang media di Taman Maluri, Cheras.
BACA: Rempuhan bas di Ampang: RapidKL mohon maaf
"Kapten (pemandu) bas itu sudah berkhidmat selama dua tahun dan dia mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.
"Punca kejadian masih belum dikenal pasti, namun kami memohon maaf kepada orang ramai atas insiden ini," katanya.
#Ampang #bas #jalan ampang #kemalangan #mrr2 #pemandu bas
;