Bas rempuh 10 kenderaan di PLUS ada 49 saman pandu lebih had laju

Bernama
Julai 12, 2016 20:33 MYT
Imej rakaman menunjukkan bas yang merempuh 10 kenderaan di PLUS. - Gambar fail
Sebanyak 49 daripada 63 saman ke atas bas pesiaran yang merempuh 10 kenderaan lain di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora Ahad lalu, adalah kerana memandu melebihi had laju.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Supt Wan Jamil Wan Chik berkata bas itu juga dikesan mempunyai sembilan saman melibatkan kesalahan memandu di lorong kanan secara perlahan.
"Selain itu, bas berkenaan juga mempunyai dua saman tidak mengawal kenderaan ketika memandu (mengakibatkan kemalangan), dua saman gagal menunjukkan lesen memandu dan satu saman memotong di kawasan larangan memotong.
"Semua saman tertunggak berkenaan adalah dari 2011 hingga sekarang," katanya kepada pemberita selepas Op Selamat 9/2016 di Kilometer 29 Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.
Dalam insiden petang Ahad itu, bas persiaran berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur melanggar 10 kenderaan lain semasa menuruni bukit di lokasi kejadian.
Antara kenderaan yang terlibat adalah kereta Proton Persona, Perodua MyVi, Toyota Unser, Proton Saga, Proton Satria dan Suzuki Alto.
Kejadian itu dipercayai berlaku akibat masalah teknikal dan brek bas yang gagal berfungsi dengan sempurna dan mengakibatkan ia gagal dikawal.
Bagaimanapun, kesemua 28 penumpang dan pemandu bas persiaran itu dilaporkan selamat, selain tiada kecederaan serius ke atas pemandu atau penumpang kenderaan lain yang terlibat.
#Bas rempuh 10 kenderaan #kemalangan #pandu lebih had laju #PLUS #saman
;