Bas Rapid KL terbakar, tujuh penumpang lalui detik cemas
Bernama
Mac 5, 2024 13:33 MYT
Mac 5, 2024 13:33 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai tujuh penumpang sebuah bas Rapid KL berdepan detik cemas apabila bas itu terbakar di Jalan Syed Putra menghala ke Jalan Klang Lama di sini, kira-kira 8 pagi tadi.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah Mohd Suhaimi Mohd Razali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.06 pagi sebelum 16 anggota bersama enam jentera bomba dari BBP Hang Tuah dan Seputeh digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata kejadian disedari seorang penunggang motosikal yang memaklumkan kepada pemandu bas berkenaan bahawa terdapat kebakaran di bahagian belakang kenderaan itu.
"Pemandu bas seterusnya menghentikan kenderaan di bahu jalan dan mengarahkan semua penumpang turun ke lokasi selamat serta sempat mematikan enjin dan memadamkan segala suis terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya kebakaran bas tersebut melibatkan 90 peratus kemusnahan dan punca kejadian masih disiasat.
-- BERNAMA