Bas Rapid KL terbakar, enam penumpang berdepan detik cemas

Bernama
Oktober 13, 2016 23:08 MYT
Enam penumpang selamat apabila bas Rapid KL yang dinaiki mereka terbakar di Jalan Wangsa Delima, Seksyen 5 Wangsa Maju di sini, hari ini. -Bernama
Enam penumpang selamat apabila bas Rapid KL yang dinaiki mereka terbakar di Jalan Wangsa Delima, Seksyen 5 Wangsa Maju di sini, hari ini.
Kejadian itu berlaku kira-kira 4 petang semasa bas T521 (LRT Sri Rampai-Seksyen 10 Wangsa Maju) itu dalam perjalanan menuju ke Stesen LRT Sri Rampai.
Kapten bas itu Mohd Nazar Baharuddin, 31, berkata kebakaran itu dipercayai berpunca daripada kerosakan enjin kenderaan awam itu.
Kebakaran bas itu turut menyebabkan enam kereta yang berada berhampirannya mengalami kerosakan, katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Nazar berkata bas yang dipandunya itu secara tiba-tiba berhenti dan mengeluarkan bunyi letupan daripada bahagian enjin.
"Saya kemudian memeriksa bahagian enjin dan mendapati api marak dengan tiba-tiba. Memang keadaan kelam kabut, saya arahkan semua penumpang keluar dari bas untuk menyelamatkan diri," katanya.
Beliau turut bersyukur kerana tiada penumpang yang cedera dalam kejadian itu.
Seorang penumpang, Rokiah Mansur, 42 berkata beliau trauma dengan kejadian itu.
"Saya terkejut apabila tiba-tiba dengar letupan di bawah tempat duduk belakang sebelum pemandu bas mengarahkan semua penumpang turun.
"Inilah pertama kali saya alami insiden ini sepanjang menggunakan pengangkutan awam," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, Amir Zaimi Abdul Rahim berkata tiga jentera bersama 20 anggota dari BBP Wangsa Maju, Keramat dan Setapak diarah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4 petang.
"Api dipadamkan sepenuhnya pada 4.26 petang dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. -Bernama
#bas rapid terbakar #Nazar Baharuddin #Seksyen 5 Wangsa Maju #T521
;