Bas pesiaran terbabas, 28 orang nyaris maut

Bernama
Julai 26, 2016 21:59 MYT
Mangsa yang cedera dalam kejadian itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut. - Foto Bernama
Seramai 21 pelancong asing, seorang pemandu bas dan seorang wanita tempatan mengalami cedera ringan apabila bas persiaran yang mereka naiki terbabas di Kilometer 19 Jalan Keramat Pulai menghala Ipoh di sini, hari ini.
Bas yang membawa seorang wanita tempatan berumur 49 tahun dan 26 pelancong antaranya dari Perancis, New Zealand, Kanada, Jerman dan Mexico itu dipercayai dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Pulau Pinang.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Supt Wan Jamil Wan Chik, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, bas terbabit hilang kawalan sebelum terbabas di laluan berselekoh dan menuruni bukit.
"Bas berkenaan terbalik dan terseret sehingga masuk ke laluan bertentangan dan tersadai dalam longkang sebelah kiri jalan menghala ke Cameron Highlands," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang lelaki berumur 66 tahun yang enggan dikenali berkata beliau yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands ternampak bas berkenaan dalam keadaan laju ketika menuruni bukit.
"Kemalangan itu berlaku sebaik sahaja saya melepasi lokasi kejadian. Saya merasa lega kerana melepasi kawasan kemalangan itu sebelum bas terbabas," katanya.
Beliau bersama beberapa orang awam terpaksa memecahkan cermin hadapan bas berkenaan untuk membantu penumpang keluar dari kenderaan tersebut.
#bas terbabas #kemalangan #kes kemalangan
;