Bas persiaran rempuh belakang lori, pemandu tersepit
Abd Razak Mohd Ali
Disember 19, 2021 07:01 MYT
Disember 19, 2021 07:01 MYT
TAPAH: Pemandu sebuah bas persiaran tersepit apabila bas dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 311 Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini, awal pagi tadi.
Pemandu berusia 43 tahun itu berjaya dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah.
Difahamkan sejumlah 22 penumpang bas terbabit terselamat dalam nahas tersebut.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan berhubung nahas pada jam 3.50 pagi.
Setiba di lokasi, bomba mendapati lori yang terlibat dalam nahas tiada di tempat kejadian.
“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkannya kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya," menurut kenyataan bomba.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nizam Mohd Akhir tamat pada jam 4.49 pagi.