Bas persiaran bawa 14 penumpang terbabas

Sinar Harian
Ogos 25, 2022 06:30 MYT
Mangsa cedera dihantar ke Hospital Papar dengan menggunakan ambulans. - Foto Sinar Harian
PAPAR: Sebuah bas persiaran yang membawa 14 penumpang warga Indonesia terbabas dan menyebabkan seorang lelaki parah manakala dua lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Kimanis-Keningau, pada petang Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, Ardian Alfianus, 21, dilaporkan parah manakala dua lagi penumpang cedera dihantar ke Hospital Papar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang.
Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 30 kilometer dari BBP Kimanis.
"Kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dipandu seorang lelaki dipercayai dalam perjalanan ke Kota Kinabalu selepas menghadiri majlis keluarga di Keningau.
"Bagaimanapun, bas terbabit terbabas di bahu jalan. Kesemua 14 penumpang warga Indonesia itu berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba. Operasi tamat jam 6.17 petang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
#bas persiaran terbabas #cedera #Nahas #warga Indonesia
;