Bas panjang lebih efisien, kadar pelepasan karbon lebih rendah - Anthony

Astro Awani
Julai 13, 2023 13:37 MYT
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tiga, kiri) merasmikan Bas Berkapasiti Tinggi, LBDD Ekspres Mutiara, model bas dua tingkat Scania 13.5 meter yang pertama dan terpanjang di Malaysia, di Shah Alam pada Khamis. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM : Dalam usaha kerajaan untuk menjayakan matlamat pembangunan mampan dan mengurangkan impak negatif terhadap persekitaran adalah penting industri pengangkutan awam darat seperti bas ekspres dikembangkan dengan pendekatan yang lebih lestari termasuk memperkenalkan pengangkutan yang mempunyai kapasiti yang lebih tinggi dan pelepasan karbon dioksida yang lebih rendah.
Susulan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyambut baik penggunaan bas panjang yang disifatkan lebih efisien dan kadar pelepasan karbon setiap kilometer perjalanan untuk setiap penumpang jauh lebih rendah berbanding kereta persendirian ataupun bas yang biasa.
Beliau menjelaskan model bas berkapasiti tinggi jenis dua tingkat, ”Long Bus Double Deck” (LBDD), Ekspres Mutiara yang dibina dari casis Scania dengan panjang 13.5 meter yang dilancarkan hari ini memenuhi kriteria tersebut.
"LBDD dengan konfigurasi kerusi dua tambah satu ini boleh membawa 51 penumpang berbanding kapasiti 39 penumpang untuk LBSD.
"Malah, LBDD yang akan dilancarkan hari ini turut dilengkapi dengan kemudahan tandas dalam bas.
"Untuk pengetahuan semua, kelulusan penggunaan model LBSD dan LBDD ini kini masih terhad kepada laluan ulang-alik Kota Bharu dan Lembah Kelang," katanya.
Jelasnya lagi, kementeriannya akan meneliti dan mempertimbangkan permintaan daripada syarikat pengendali bas ekspres supaya model bas panjang boleh diperluaskan ke laluan-laluan lain yang sesuai mengikut permit pengendalian yang diberikan oleh APAD.
"Dalam tempoh masa yang terdekat, kaedah ataupun peraturan yang khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda untuk membenarkan pembinaan dan penggunaan bas panjang secara dasar.
"Dengan adanya dasar baru yang jelas, maka syarikat pengendali bas digalakkan untuk melabur, menaik taraf dan memodenkan fleet bas ekspres masing-masing bukan sahaja untuk keselesaan
penumpang, tetapi juga untuk pulangan yang lebih baik dan mesra alam," ujarnya.
Jelasnya, dasar kerajaan yang membenarkan penggunaan bas panjang yang memenuhi ciri keselamatan adalah pendorong kepada budaya penggunaan pengangkutan awam.
Inisiatif ini juga sejajar dengan komitmen antarabangsa kita dalam menghadapi perubahan iklim, memenuhi sasaran net-zero gas rumah hijau menjelang tahun 2050 dan wujudkan masa depan yang lebih hijau dan mampan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran Bas Berkapasiti Tinggi, LBDD Ekspres Mutiara, model bas dua tingkat Scania 13.5 meter yang pertama dan terpanjang di Malaysia, di Shah Alam pada Khamis.
#Anthony Loke #Akta Pengangkutan Jalan 1987 #bas panjang
;