Bas langgar tujuh kenderaan umpama aksi permainan video popular - netizen
Bernama
Ogos 17, 2018 19:04 MYT
Ogos 17, 2018 19:04 MYT
Rakaman video berdurasi 1 minit 37 saat sebuah bas RapidKL yang melanggar beberapa kenderaan di Jalan Ampang malam tadi bagaikan aksi visual Grand Theft Auto (GTA) V yang popular dalam kalangan pengemar permainan video masa kini itu.
Sebaik sahaja beberapa minit video tersebut tular di media sosial, beberapa netizen memberi komen adegan tersebut adalah mirip aksi GTA V walaupun ia adalah kejadian sebenar yang berlaku di ibu negara.
Seorang daripada mangsa kejadian itu Muhamad Nur Azri Muhd Arip, 22 yang juga orang terawal memuat naik video tersebut di Facebook dan mendapat 102,000 kongsian berkata tindakannya dan rakan-rakannya mengejar bas itu adalah untuk berunding mengenai ganti rugi daripada pemandu bas tersebut yang melanggar gerai burgernya di Flat PKNS, AU2 Taman Keramat, Selangor.
“Benar, di dalam video yang tular malam tadi, saya sedang mengejar bas itu tapi bukan untuk memukul tapi untuk berbincang dengannya tetapi mengapa dia bertindak melarikan diri?
“Setelah bas yang dikejar berhenti, kami terus mencari pemandu bas itu. Namun, dia (pemandu bas) telah kami dapati terduduk, cedera akibat dipukul oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama.
“Mula-mula memang marah sehingga saya tidak berbaju, mengejar bas itu menaiki motosikal. Tapi bila melihat keadaan pemandu bas tersebut dengan berlumuran darah dipukul teruk oleh orang awam, timbul pulak rasa kasihan terhadapnya,” katanya.
Tambahnya, berita bayi dua bulan yang juga anak saudaranya itu yang dipangku ibunya telah tercampak, adalah tidak benar.
Malah, ibu saya hanya mengalami sakit belakang dan bayi tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan. Ibu dan bayi tidak mengalami sebarang kecederaan cuma gerainya mengalami kerosakan dianggarkan kerugian sebanyak RM500, katanya.
Menurut Azri, sebelum melanggar gerainya, pemandu bas itu dikatakan telah memecut laju di kawasan berkenaan lalu melanggar sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam yang berpusing dan merempuh gerainya.
Katanya, pemandu kereta itu telah bertindak mengejar bas terbabit sehingga dapat meloloskan diri masuk ke dalam bas dan menyuruh pemandu itu agar memberhentikan kenderaan namun gagal.
Ekoran itu, pemandu bas tersebut bertindak melanggar beberapa kenderaan lain di atas jalan raya sebelum memberhentikan bas berkenaan akibat kesesakan jalan raya, di tepi Jalan Ampang, laluan MRR2.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, sebanyak tujuh kenderaan rosak teruk selepas dirempuh sebuah bas henti-henti dipandu seorang lelaki yang disyaki cuba melarikan diri daripada satu kemalangan di hadapan Bangunan Risda di Jalan Ampang di sini.
-- BERNAMA
#bas rempuh
#bayi
#Grand Theft Auto
#GTA V
#jalan ampang
#kemalangan
#keramat
#mangsa
#media sosial
#RapidKL
#video
#video tular