Bas kilang terbalik, tujuh pekerja cedera

Astro Awani
Jun 25, 2018 11:01 MYT
Anggota bomba menjalankan kerja-kerja mencuci tumpahan minyak susulan bas kilang terbalik di Paya Terubong pagi ini. Foto JBPM
Tujuh pekerja kilang cedera apabila bas yang dinaiki mereka terbalik selepas melanggar pembahagi jalan di Paya Terubong, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.57 pagi ketika bas yang membawa 38 pekerja kilang itu sedang dalam perjalanan untuk menghantar pekerja terbabit ke sebuah kilang.
Jurucakap bomba berkata, mereka yang cedera terdiri daripada enam pekerja lelaki dan seorang pekerja wanita.
“Terdapat 38 orang pekerja kilang di dalam bas, iaitu 34 lelaki dan empat perempuan. Hanya tujuh mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dikeluarkan (dari bas) oleh orang awam.
“Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, bas kilang tersebut telah melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.
Berikutan itu, pihaknya menjalankan kerja-kerja mencuci tumpahan minyak sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.30 pagi.
#bas #kemalangan #kilang #langgar #paya terubong #pekerja kilang #pembahagi jalan #pulau pinang #terbalik
;