Bas kilang terbakar ketika pemandu sedang tidur
Adie Sufian Zulkefli
Mei 14, 2020 09:51 MYT
Mei 14, 2020 09:51 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang pemilik bas kilang terkejut apabila kenderaan itu yang diletakkan di tepi jalan berhampiran rumahnya di Taman Baiduri, Sungai Petani, musnah dalam kebakaran awal pagi Khamis.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.15 pagi, ketika lelaki terbabit yang juga pemandu bas berkenaan sedang tidur.
Dia yang terdengar jeritan orang awam yang melalui jalan terbabit bergegas keluar sebelum ternampak api sedang marak lalu segera menghubungi bomba.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.21 pagi.
Beliau berkata, sepasukan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani diketuai Pegawai Bomba Kanan Mohd Aslan Yusof yang dihantar ke lokasi kejadian segera melakukan pemadaman dan pemeriksaan mendapati bas itu terbakar 80 peratus.
Katanya, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.