Bas hilang kawalan bergesel lori tangki
Sinar Harian
Julai 9, 2021 07:15 MYT
Julai 9, 2021 07:15 MYT
PORT DICKSON: Empat penumpang berdepan detik cemas apabila bas yang mereka naiki hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah lori tangki di Kilometer 8.3 Jalan Pantai di sini pada Jumaat.
Ketua Polis daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, bas henti-henti dari arah Port Dickson dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar besi penghadang jalan di kanan bahu jalan.
"Dalam masa sama sebuah lori tangki dari Seremban menghala Port Dickson cuba mengelak daripada melanggar bas tersebut, namun bergesel dengan bahagian tepi sebelah kiri bas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut Aidi Sham berkata, kemalangan itu bagaimanapun hanya mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
"Terdapat empat penumpang dalam bas itu namun mereka tidak mengalami kecederaan dan telah beredar dari tempat kejadian selepas kemalangan," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian: Bas hilang kawalan bergesel lori tanker
#bas hilang kawalan
#nyaris maut
#penghadang jalan
#bas
#lori tangki
#Aidi Sham Mohamed
#hilang kawalan
#kemalangan
#Seremban
#bergesel